manusia dan islam
Assamualaikum w.r...
Kesempatan ini saya ambil seketika buat mengisi ruang untuk membentangkan sebuah bicara hebat diakhir-akhir zaman kini iaitu JIHAD. Mengapa dan kenapa harus saya bentangkan masalah ini adalah hanya untuk memberi peringatan kembali kepada semua pembaca tentang erti sebenar JIHAD yang sebenar-benarnya.
Kesempatan ini juga saya berterima kasih kepada pembaca semua kerana memberi saya semangat dalam menghasilkan MANUSIA DAN ISLAM ini.
APA ITU JIHAD
JIHAD adalah kalimah bahasa Arab yang telahpun diserap ke dalam bahasa kebangsaan. Fonatik kalimah ini sangat ringkas dan mudah. Namun begitu masyarakat kita kini mempunyai persepsi dan pemahamannya yang tersendiri terhadap JIHAD. Umumnya ramai yang memahami JIHAD sebagai suatu aksi yang dikaitkan dengan perjuangan dengan menggunakan senjata dan secara fizikal semata-mata. Kalimah JIHAD semata-mata hanya disinonimkan dengan beberapa aksi yang bersifat kekerasan dan begitu drastik, melibatkan senjata api dan berlaku pertumpahan darah atas dorongan untuk mendapatkan SYAHID. Pastinya tidak ramai yang menyedari bahawa pegangan sesetengah mereka yang fanatik dan buta ilmu terhadap istilah JIHAD membawa kepada tercemarnya istilah suci jihad itu di mata orang Islam dan juga bukan Islam.
JIHAD menurut al-Quran adalah umum dan menyeluruh, iaitu merangkumi semua aspek daya dan tenaga kemampuan dan kekuatan seseorang Islam dalam menghadapi musuh-musuhnya demi untuk mencapai cita-cita yang digariskan oleh al-Quran. “Musuh-musuh” yang dimaksudkan di sini adalah meliputi musuh dalaman manusia iaitu Syaitan berupa manusia dan juga Jins yang kerap menggoda nafsu manusia dalam bentuk zahir ataupun batin.
Dalam al-Quran, penegasan mengenai kefarduan JIHAD terdapat dalam berbagai ayat. Di antaranya menyentuh Jihad berbentuk suruhan bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah (keupayaan melawan hawa nafsu), memperkaya ilmu, menggunakan al-Quran sebagai makanisma untuk menegakkan kebenaran, pengorbanan harta dan juga berbentuk pengorbanan jiwa.
JIHAD DALAM KONTEKS ISLAM
Berdasarkan nas-nas al-Quran terdapat dua pembahagian besar terhadap JIHAD:-
1) JIHAD AGUNG:-
iaitu Jihad ke atas nafsu serta menentang tipu daya syaitan.
2) JIHAD KECIL:-
iaitu meliputi bentuk-bentuk JIHAD yang lain seperti JIHAD dengan hati (berdoa), JIHAD dengan lisan (nasihat dan tutur kata) atau kalam (penulisan), JIHAD dengan ilmu dan pelajaran (memberi pengetahuan), JIHAD dengan harta (infak dsb.) dan seterusnya JIHAD dengan tubuh badan dan nyawa.
JIHAD nafsu bermaksud jihad untuk membersihkan jiwa dan mensucikan hati dan sifat-sifatnya yang rendah dan keji untuk diisi dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Ringkasnya ia merupakan JIHAD untuk mentaati Allah, tunduk kepada perintahNya sepanjang masa. Ia dianggap JIHAD Agung kerana luas medan perjuangannya yang tidak terbatas dan terhad bagi menangkis musuh yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera.
Sebagaimana yang dijelaskan di atas bahawa JIHAD yang paling tinggi ialah JIHAD melawan nafsu. JIHAD melawan nafsu meliputi kesanggupan kita bersabar terhadap segala kesulitan dan cabaran-cabaran getir dalam menjalankan dakwah semata-mata kerana Allah S.W.T. Termasuk juga Jihad melawan nafsu adalah JIHAD melawan syaitan. Menurut Ibn Al-Qaiyim, hal ini dapat dilakukan dengan dua cara, iaitu, Pertama: dengan cara menolak bisikan yang dilemparkan ke dalam hati, sama ada perasaan waswas, syak wasangka atau keraguan yang menggoyahkan keimanan. Kedua: dengan melawan bisikan syaitan di dalam hati yang sentiasa mengajak melakukan perbuatan maksiat dan mungkar. Untuk melawan kedua-duanya ini hendaklah iman diperkukuh dan sentiasa sabar dan menahan diri.
Dalam hubungan ini, JIHAD Agung iaitu melawan dan menundukkan nafsu yang bersarang dalam hati lebih diutamakan daripada JIHAD melawan musuh yang berbentuk luaran. Apabila gagal menundukkan nafsunya untuk berbakti kepada Allah S.W.T., tidak mungkin baginya berdaya memerangi musuh yang berada di luar, kerana ia masih terkongkong oleh nafsunya sendiri.
Al-Qhardawi menjelaskan bahawa pendidikan (tarbiyah) dan pembinaan insan adalah lebih utama dalam melaksanakan JIHAD. Tarbiyah dan pembinaan yang dimaksudkan ialah pembangunan insan mukmin yang mampu dan sanggup membawa beban dan tugas dakwah, tidak bakhil harta dan jiwa serta teguh dalam menghadapi setiap dugaan dan cubaan yang dilaluinya, demi menegakkan kalimah Allah S.W.T. Ibnu al-Qaiyim menjelaskan bahawa termasuk JIHAD melalui bidang ilmu ialah dalam aspek pembabitan kita dalam aspek-aspek perancangan, termasuk menyediakan perancangan berstrategik, pelaksanaan dan sebagainya.
JIHAD DENGAN SENJATA
Umumnya kini ramai umat Islam memahami JIHAD dalam konteks ini iaitu JIHAD DENGAN SENJATA. Tetapi harus kita memahami maksud yang sebenar JIHAD DENGAN SENJATA ini.
Perinsip umum Islam adalah agama yang mementingkan kedamaian daripada peperangan. Islam menganjurkan semua manusia terutama pemeluk-pemeluknya supaya sentiasa menjaga keamanan dan berbaik-baik kepada semua bangsa dan penganut agama lain, kecuali kedudukan Islam terinaya atau terancam.
Firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Baqarah, ayat 190 yang bermaksud;
“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh”.
Firmam Allah dalam Surah al-Haj, ayat 39-40, bermaksud;
“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan)”.
“Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana berkata: Tuhan Kami adalah Allah”.
Berdasarkan nas-nas al-Quran di atas adalah jelas bahawa JIHAD dengan menggunakan senjata mestilah menepati syarat-syarat yang ketat dan bukti-bukti yang jelas seperti kita boleh menentang mereka yang memerangani atau menghalau kita dari tanah air kita yang dicintai.
KESIMPULAN
Dari perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa beberapa JIHAD yang penting hendaklah diutamakan seperti JIHAD menentang hawa nafsu dan syaitan, jihad menuntut ilmu dan memerangi kejahilan, JIHAD membanteras kemiskinan, masalah gejala sosial yang berleluasa kini dan sebagainya.
Waktu yang aman dan sejahtera yang ada pada kita hendaklah diisi dan seterusnya memerlukan kita berjihad bagi membangunkan ummah, memerangi kemiskinan, kejahilan dan penyakit serta membanteras penyakit-penyakit sosial.
Kewajipan dan tanggungjawab juga terletak dibahu kita semua bagi menjaga kesejahteraan negara dari kekacauan dan huruhara serta mempertahankan kesucian agama kita dari mereka yang cuba untuk menyelewengkannya dari tuntutan yang sebenar.
MAKSUD JIHAD OLEH MUFTI PERLIS
Technorati Cosmos: other blogs commenting on this post
manusia dan islam