Assalamualaikum...wth.
Selamat menyambut hari kelahiran nabi junjungan kita Muhammad S.A.W. Semoga kita mangamal sunnah-sunnah dan mempertahankan kedaulatan Islam bersama.
Di akhir-akhir ini kita sering melihat perbagai tomahan dilemparkan kepada Islam. Apa sumbangan anda untuk memertabat Islam?. Gunalah tulang empat kerat yang ada untuk Islam. Baik dari sekecil-kecil sehingga yang termampu oleh kita.
Lihat kembali betapa Rasulullah S.A.w. dan sahabat mengembangkan Islam begitulah seharusnya kita lakukan dengan pelbagai usaha yang ada di zaman moden ini. Jika jihad dengan senjata itu amat berat untuk kita lakukan, berjihadlah dengan pena sebagai pedang. Jika itu pun kita tidak mampu, maka berjihadlah kita dengan hati yang tersimpan. Jangan kita leka dan lalai kerana musuh-musuh Islam sentiasa menghidu peluang untuk melekakan kita dan bertindak dalam kita tidak sedar. Mahukah kita menjadi seperti Negara Bosnia, Palestine, Iraq, Afganistan dan lain-lain negara islam yang bersengketa?. Ingatlah berjihadlah kamu dengan pedang jika hanya mata pedang itu sahaja yang dapat menjaga kedaulatan Islam keseluruhannya. ( teringat akan arwah pak long yang mempertahankan negara dari kominis demi keamanan negara )
Bersatulah kita sebagaimana Rasulullah menyatukan umat. Bersatulah kita demi negara yang kita cintai dan bersatulah kita dengan pemimpin yang memerintah demi kesejahteraan dan keamanan untuk kita mudah beribadat dan menyebarkan syiar Islam keseluruh pelosok dunia.
Hari ini ingin saya mengingatkan kembali apa itu maksud maulidur rasul buat semua :-
Maulidur Rasul yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571 merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w (Sallallahu Alaihi Wasallam). Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.
Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.
Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.
Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.
Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.