Ada wang semua boleh jadi, no money no talk, ada duit hati senang, pokoknya wang menjadi satu keperluan besar dalam kehidupan. Berbohonglah jika ada yang kata tak perlukan wang untuk menjalani kehidupan seharian. Masakan tidak, kehidupan seharian, keadaan sekeliling memerlukan wang untuk menjalani rutin harian hatta masuk tandas awam hari ini pun dikenakan bayaran !
Manusia boleh jadi kelabu mata apabila ditimbunkan wang dihadapannya. Jika tidak tak akan ada kes pecah amanah, gelap duit syarikat atau rompakan yang melibatkan mereka yang berkedudukan atau beruang (berwang)! Allah SWT mengingatkan hamba-Nya bahawa harta, kuasa dan anak adalah ujian. Kemewahan dan kesenengan yang dianugerahkan adakalanya menjadi ujian dan dugaan yang akhirnya tidak mampu ditanggung.
Allah SWT memperingatkan lagi yang paling penting ialah iman dan amal, jika diri dibekalkan dengan kedua-duanya pasti segala kemewahan dan kesenangan yang diperolehi dimanfaat dengan sebaik--baiknya malah rezeki semakin bertambah dari hari ke sehari. Namun tidak ramai yang sedar hakikat kepentingan iman dan amal ini. Apabila mendapat sedikit kemudahan, mula lupa diri. Lupa dari mana asal kita. Tidak seperti menuding jari ke arah siapa, cukup sebagai contoh seperti yang berlaku kepada sahabat di zaman Rasulullah SAW dahulu.
Kisah Abu Tha'labah seorang sahabat yang terlalu miskin sehingga terpaksa berkongsi kain sembahyang dengan isteri. Setiap kali selepas solat berjamaah beliau tergesa-gesa pulang ke rumah tanpa sempat berdoa. Keadaan ini berlarutan sehingga Rasulullah kehairanan. Suatu hari baginda bertanya Tha'labah akan hal keadaannya. Tha'labah menjawab, "Bukan aku tidak mahu berdoa ya Rasulullah, tetapi aku terpaksa pulang untuk memberikan kain sembahyangku ini kepada isteriku, aku mohon agar engkau ya Rasulullah doakanlah aku menjadi kaya".
Rasulullah menolak permintaan Tha'labah dengan alasan kekayaan aan menjadikannya lupa diri. Tha'labah masih merayu agar rasulullah mendoakannya dan berjanji beliau tidak akan lupa diri. Setelah lama merayu akhirnya Rasulullah bersetuju mendoakannya. Setelah itu, wahyu sampai. Tha'labah diberi sepasang kambing. Lama-kelamaan kambing tersebut membiak sehingga beliau tidak ada masa lagi untuk berjamaah di masjid. sampai satu ketika Rasulullah menghantar utusan untuk menyedarkannya.
Malangnya Tha'labah semakin sombong hingga tidak mahu mendengar apa-apa utusan walaupun datangnya dari Rasulullah. Baginda memohon petunjuk daripada Allah SWT agar menyedarkan Tha'labah. Akhirnya ternakannya diserang penyakit dan mati sehingga beliau jatuh papa. Beliau memohon ampun dari baginda Rasulullah tetapi tidak dimaafkan sehingga baginda wafat. Hingga zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar beliau masih memohon maaf, Saidina Abu Bakar mengatakan, "Jika rasulullah tidak memaafkanmu, bagaimana aku perlu memaafkanmu?"
Terkandung seribu pengajaran dari kisah tersebut, jika benar-benar menghayatinya, istighfarlah panjang-panjang. Jangan menjadi hamba kepada duit, belum tentu ia menjamin kebahagian hidup. Wang bukan penyelesai segala-galanya. Jika tamakkan harta, amanah yang dipertanggungjawabkan boleh langsai sekelip mata. Jika zakat atau sebagainya, jagalah sebaik mungkin. Syukurlah dengan rezeki yang ada. Allah SWT menjanjikan rezeki lebih, berusahalah dengan cara halal tanpa menindas pihak lain, berusahalah dengan cara disuapkan kepada anak, isteri menjadi darah daging sehingga membentuk peribadi mereka.
Renung dan hayatilah.
ditulis oleh Fauzynm (moga Allah memberkati)